Monday, 5 December 2011

Serpihan Yang Menjadi Cebisan - Cebisan Diari Uswah


“Everybody  becomes  mature  after  experiencing  pain. If  that  time  is  now, we  will  take  another  step  forward  and  express  our  feelings. We  have  to  take  a  look  back  at  our  footsteps  that  have  spread  out  over  the  sands  of  time, open  that  door, and  say  that  the  moments  we  spent  together  were  great  until  that  moment.”

( Flumpool – Zanzou )





Suatu  perkataan  sahaja  yang  mampu  menggambarkan  suasana  Tesco  Kajang  pada  pagi  itu, sesak. Hari  Jumaat  sememangnya  menjadi  tumpuan  untuk  warga  kerja  wanita  keluar  membeli-belah  sementara  umat  Islam  yang  bergelar  lelaki  pula  wajib  untuk  Solat  Jumaat  di  Masjid. Fatin  Qistina  menolak  troli. Dia  menuju  ke  arah  bahagian  rempah  ratus. Afiqah  pula  di  hadapan  sambil  meneliti  paket  perencah  dan  bahan  perasa  yang  perlu  dibeli. Sementara  Widad  pula  sibuk  mengira  barang  yang  sudah  diletakkan  di  dalam  troli  supaya  tidak  melebihi  dengan  jumlah  wang  yang  dibawa.


          “Nak  guna  jenama  yang  mana  ini? Maggie  ataupun  Adabi?” Afiqah  bertanya.

          “Ambil  Adabilah. Ustazah  Halimah  tak  suka  sangat  yang  jenama  Maggie  ini.” Widad  menerangkan.

          “Lagipun, jenama  Adabi  punya  lagi  murah  daripada  Maggie.” Tambah  Widad  lagi.

          Mereka  berdua  mengangguk. Kemudian  mereka  memandang  Fatin  Qistina, menanti  reaksi. Fatin  Qistina  sekadar  tersenyum. Tanda  dia  bersetuju. Tiga  botol  sos  diletakkan  ke  dalam  troli. Fatin  Qistina  menolak  kembali  troli. Mereka  bertiga  menuju  ke  bahagian  makanan  segera  pula. Mencari  bihun. Afiqah  memerhati. Lama  dia  meneliti. Kemudian  dia  menggaru  kepala. Keliru.

          “Fatin, bihun  ini  macam  mana  rupanya?” Afiqah  segan-segan  bertanya.

          Widad  mengangkat  kening. Fatin  Qistina  sampai  tersedak. Patutlah  si  Afiqah  ini  dari  tadi  asyik  mundar-mandir  sahaja  di  sekitar  kawasan  itu. Mereka  berdua  ingatkan  dia  sedang  mencari  jenama  terbaik  untuk  dipilih. Rupa-rupanya  ada  udang  di  sebalik  batu. Fatin  Qistina  melepaskan  troli. Dia  berjalan  mendekati  Afiqah  sambil  matanya  memerhati  susunan  paket  bihun  tersebut. Satu  paket  diambil.

          “Inilah  bihun.” Fatin  Qistina  menunjukkan  satu  paket  bihun  mentah  kepada  Afiqah. Afiqah  mencemikkan  muka. Semakin  keliru.

          “Bihun  bukan  mi  ke? Ini  dah  macam  agar-agar  ana  tengok.” Afiqah  menggaru  kepala. Fatin  tersenyum. Biasalah, Afiqah  ini  anak  orang  berada  dan  duduk  di  bandar. Mungkin  tidak  biasa  melakukan  kerja  di  dapur  sampaikan  bihun  mentah  pun  dia  tidak  tahu.

          “Bihun  mentah  memang  macam  inilah. Lepas  rebus, baru  ada  bentuk  mi  nipis  itu.” Widad  yang  berada  di  belakang  menyampuk.

          Afiqah  mengangguk  tanda  faham. Dalam  diam  dia  berasa  segan. Mungkin  selepas  ini  dia  sepatutnya  kerap  menolong  pembantu  rumahnya  memasak. Sebagai  latihan  sebelum  disunting  menjadi  sang  bidadari  ketika  meningkat  dewasa  nanti. Jika  tidak, segan  sahajalah  dengan  mentua  kerana  mendapat  menantu  yang  tidak  kenal  akan  rupa  bihun  mentah. Afiqah  menggeleng  kepala. Tidak  dapat  menggambarkan  betapa  dahsyat  keadaannya  jika  dia  menghadapi  situasi  tersebut. Sedang  dia  memikirkan  keadaan  itu, Afiqah  terlihat  Fatin  Qistina  yang  sedang  memilih  jenis  perasa  bagi  mi  segera  untuk  dibeli. Apa  yang  menarik  perhatiannya  adalah  jenama  mi  segera  yang  berada  di  tangan  Fatin  Qistina. Jenama  yang  sedang  hangat  diperkatakan  di  dalam  internet  kini. Maggie.

          “Cari  mi  segera  ke  cik  kak  seorang  itu?”

          Fatin  Qistina  menoleh  ke  arah  Afiqah. Dia  mengangguk.

          “Yalah  cik  adik  sayang. Tak  akan  ana  cari  peti  ais  pula?” Gurau  Fatin  Qistina. Sahaja  dia  mahu  bercanda. Dia  tahu, ada  maksud  di  sebalik  pertanyaan  itu. Afiqah  mencebik. Kurang  asam, dia  terkena.

          Baru-baru  ini  keluar  berita  yang  disebarkan  di  internet  tentang  bahana  sesuatu  produk. Antara  produk  makanan  yang  terlibat  adalah  seperti  mi  segera, sushi, Milo, air  Coca-cola, sardin  di  dalam  tin  dan  sebagainya. Satu  contoh, mi  segera. Ada  berita  yang  disebarkan  oleh  individu  tertentu  bahawa  wax  di  dalam  mi  segera  boleh  menyebabkan  barah. Afiqah  berasa  hairan, dia  sedar  yang  Fatin  Qistina  tahu  tentang  berita  tersebut. Sudah  tahu  bahaya, kenapa  Fatin  Qistina  masih  lagi  mahu  membeli  produk  itu. Bukankah  itu  memudaratkan  diri  dan  haram  hukumnya?

          “Fatin, mi  segera  kan  tidak  elok. Boleh  sebabkan  barah.” Afiqah  menghampiri  Fatin  Qistina. Sekali  lagi  senyuman  Fatin  Qistina  hadiahkan.

          “Betul. Mi  segera  memang  tak  elok. Tapi  tak  adalah  sampai  boleh  sebabkan  barah.” Fatin  Qistina  menyanggah.

          “Eh, bolehlah. Ana  ada  terbaca  dalam  internet.” Afiqah  masih  dengan  pendiriannya.

          Fatin  Qistina  dan  Widad  tertawa  kecil  mendengarnya. Mungkin  Afiqah  sudah  lupa. Almaklumlah, sudah  sebulan  Lujnah  Uswah  tidak  membuat  sebarang  perjumpaan  dan  menjalankan  apa-apa  kempen. Pada  perjumpaan  kali  ke  empat  mereka, Hakim  ada  membuka  perbincangan  tentang  fitnah  yang  melanda  di  internet. Hakim  menyangkal  banyak  dakwaan  daripada  artikel  yang  menyerang  industri  pemakanan. Dari  segi  kandungan, status  halal, kesan  sampingan  dan  sebagainya. Bak  kata  Ketua  Uswah  waktu  itu, ‘Orang  Melayu  kita  kebanyakannya  memang  jaguh  dalam  melingkupkan  perniagaan  orang  lain’. Tidak  cukup  dengan  kes  menggunakan  makhluk  halus, mereka  guna  berita  fitnah. Bukan  semua, tetapi  kebanyakannya  dan  mereka  itulah  yang  mencemarkan  nama.

          Tuduhan  mereka  tidak  berasas. Hanya  berdasarkan  andaian. Kebanyakan  orang  kita  pula  mudah  teruja. Jumpa  berita  yang  menarik  dan  sesuatu  yang  di  luar  jangka  sahaja, mereka  terus  sebar. Kononnya  merekalah  pengkaji, merekalah  yang  membuat  penemuan  baru. Tetapi  apabila  disangkal  oleh  pihak  tertentu, mereka  mulalah  menunding  jari. Apabila  industri  itu  menafikan  sambil  mahu  mendakwa, mereka  mulalah  buat  tidak  tahu. Tidak  ubah  seperti  mereka  yang  hanya  tahu  membaling  batu  dan  menyembunyikan  tangan.

          “Afiqah, mi  segera  ini  tak  elok  sebab  banyak  MSG  sahaja. Tak  baik  untuk  minda. Wax  mana  boleh  sebabkan  barah. Itu  hanya  fitnah  yang  direka  oleh  pihak  tertentu  agar  kita  memboikot  produk  itu.” Widad  di  belakang  menerangkan.

          Fatin  Qistina  mengangguk. Afiqah  pula  sekadar  tertunduk. Seakan  sedang  memikirkan  hal  tersebut. Dia  juga  kemudian  mengangguk. Afiqah  teringat  suatu  perkara. Senyuman  di  bibir  pula  terukir. Petikan  jari  kedengaran.

          “A’ahlah. Hari  itu  Hakim  ada  cerita. Macam  mana  ana  boleh  lupa  ini.” Afiqah  menggaru  kepala.

          “Cakap  pasal  Hakim. Ana  teringat  kes  tempoh  hari.” Fatin  membuka  cerita.

          “Yup, kes  yang  amat  ngeri  itu.” Widad  menambah.

          Kes  itu  sudah  seminggu  berlalu. Satu  sekolah  gempar  menerima  berita  tersebut. Kumpulan  pengganas  telah  memulakan  gerak  mereka  di  sekitar  kawasan  Semenanjung  Malaysia  nampak  gayanya. Namun  pihak  sekolah  hanya  diberitahu  bahawa  mereka  adalah  pengganas  tahap  rendah. Berdasarkan  bom TATP  yang  mereka  gunakan, kenyataan  pihak  polis  mengatakan  bahawa  mereka  hanyalah  kumpulan  amateur. Namun, ada  sesuatu  yang  polis  sendiri  tidak  tahu. Berapa  ramai  lagi  ahli  mereka  yang  lain? Apa  tujuan  sebenar  mereka? Polis  sendiri  sebenarnya  dikecualikan  dalam  kes  ini. Tugas  ini  diserahkan  kepada  unit  khas  yang  melawan  pengganas.

          Sementara  itu  Wan  Juwairiah  juga  sudah  semakin  sembuh  dan  sihat  keadaannya. Dia  masih  dirawat  di  Hospital  Kajang. Fitnah  terhadap  ketua  Uswah  sudah  mula  reda. Banyak  pihak  meminta  maaf  kepada  Hakim. Tujuan  mereka  bertiga  membeli-belah  ini  juga  adalah  sebagai  salah  satu  tanda  minta  maaf  daripada  Puan  Rahimaton. Dia  menjemput  semua  ahli  Uswah  datang  sekali. Sambil  menyuruh  tiga  ahli  ini  bantu  membeli  bahan  mentah  untuk  dimasak. Widad  kemudian  memandang  sos  cili  Adabi  yang  berada  di  dalam  troli  itu. Dia  teringat  sesuatu.

          “Tetapi  pelik  kan. Tak  sangka  dalam  keadaan  tertentu, sos  cili  pun  boleh  selamatkan  dunia.” Widad  mengangkat  sambil  meneliti  sos  tersebut. Fatin  Qistina  dan  Afiqah  saling  berpandangan. Kemudian  mereka  tersengih.

          “Buat  ketua  Uswah  itu, tak  ada  apa  yang  mustahil.” Afiqah  menggeleng  kepala.

          “Itulah  kelebihan  mereka  yang  percaya  kepada  hikmah  dan  keajaiban. Keyakinan  itu  disandarkan  kepada  Allah, jadi  tidak  akan  mudah  runtuh.” Fatin  Qistina  menjelaskan.

          Pada  hari  Isnin  yang  lalu, wartawan  dari  akhbar  Sinar  Harian  datang  ke  sekolah  untuk  menemu  ramah  Hakim. Tetapi  Hakim  menolak, dia  sekadar  menghantar  Amirul  sebagai  wakil. Amirul  menerangkan  bagaimana  Hakim  menyelesaikan  masalah  tersebut. Betapa  tenangnya  dia  menghadapi  situasi. Cara  dia  mematikan  bom, memutar  suasana, muslihat  kad, ternyata  ilmu  yang  dimiliki  melebihi  usia. Ketika  itu  Hakim  sekadar  meminta  Amirul  menyampaikan  suatu  pesanan  penting, jangan  dipandang  rendah  kepada  mereka  yang  menonton  animasi. Jangan  buat  satu  persepsi  bahawa  mereka  ini  tidak  matang. Sedangkan, golongan  inilah  yang  bakal  mengubah  dunia. Fatin  Qistina  menggeleng  kepala  teringatkan  hal  itu.

          “Stroop  effect.” Widad  berkata  spontan. Dia  teringat  akan  perbualan  antara  Hakim  dengan  Cikgu  Yanti, guru  yang  mengajar  subjek  sains.

          “Oh  ya, yang  pasal  otak  kita  itu  kan?” Afiqah  berminat.

          “Yup. Lebih  tepat, keadaan  apabila  otak  kita  mengesan  sesuatu. Sama  ada  otak  kita  akan  mengesan  bentuk  dahulu  atau  warna.” Fatin  Qistina  kembali  menolak  troli.

          Stroop  effect  adalah  kesan  kepada  otak  dalam  menentukan  sesuatu  bentuk  dan  warna. Otak  manusia  biasanya  akan  mengesan  bentuk  terlebih  dahulu  sebelum  warna. Tetapi  dalam  situasi  tertentu, otak  akan  mengesan  warna  terlebih  dahulu  berbanding  bentuk. Akan  berlaku  konflik  antara  otak  kanan  dan  kiri  ketika  itu. Otak  kanan  mahu  menyebut  warna  manakala  otak  kiri  mahu  mengatakan  bentuk. Kesimpulannya, penggunaan  minda  kita  ini  adalah  bergantung  kepada  keadaan  dan  pengalaman  juga.

          “Oh, patutlah  Hakim  menggunakan  sos  cili.” Akhirnya  Afiqah  memahami.

          “Betul. Sos  cili  berwarna  merah. Warna  merah  pula  amat  sinonim  dengan  isyarat  berhenti  bagi  seorang  pemandu. Teori  yang  diambil  berdasarkan  warna  lampu  isyarat. Hakim  bijak  dalam  memahami  situasi  ini. Malah  dia  menggabungkan  dua  kesan  dalam  satu  keadaan. Dia  bukan  sahaja  menggunakan  warna  merah, bahkan  dia  juga  menulis  perkataan  ‘STOP’ untuk  menambah  perhatian  pemandu  tersebut.” Fatin  Qistina  menerangkan.

          Afiqah  dan  Widad  mengangguk. Apabila  warna  itu  digabungkan  dengan  perkataan, isyarat  yang  lebih  besar  akan  dihantar  kepada  minda. Seperti  memberi  maksud  ‘berhenti  sekarang’. Ditambah  dengan  situasi  mereka  yang  baru  keluar  dari  terowong, keadaan  ini  nyata  memberi  Hakim  kelebihan. Lampu  di  dalam  terowong  itu  dihiasi  dengan  cahaya  Natrium. Cahaya  dari  lampu  sodium. Keadaan  ini  sedikit  sebanyak  memberi  kesan  terhadap  anak  mata  manusia. Kemudian  dengan  tiba-tiba  menerima  cahaya  matahari  apabila  keluar  dari  terowong  ternyata  memberi  impak  kepada  mata  terutama  bagi  pemandu. Bahkan  Hakim  telah  membuat  satu  helah  dengan  menghuru-harakan  keadaan  untuk  menarik  perhatian  pemandu  agar  melihat  ke  belakang  melalui  cermin  sudut  bas.

          “Macam  manalah  dia  boleh  fikir  sejauh  itu  kan?” Afiqah  kagum. Widad  menjungkit  bahu.

          “Dia  kan  pernah  kata, orang  beriman  itu  ajaib.”

          Fatin  Qistina  kemudian  menolak  troli  untuk  menuju  ke  arah  kaunter  pembayaran. Meninggalkan  Afiqah  dan  Widad  yang  masih  tercegat  di  bahagian  makanan  segera  itu. Persoalan  yang  menarik. Orang  beriman  itu  ajaib. Apa  yang  ajaibnya? Mereka  ajaib  kerana  sentiasa  yakin  dan  percaya. Bahawa  setiap  kejadian  itu  ada  hikmahnya. Mereka  percaya  kepada  harapan. Orang  beriman  itu  akan  berusaha. Walau  keadaan  yang  sangat  menghimpit  sekalipun. Mereka  akan  percaya  kepada  keajaiban. Semua  ini  kerana  mereka  percaya  Tuhan. Dunia  memang  suatu  ketika  itu  tidak  adil, kerana  itulah  Allah  mencipta  akhirat. Tempat  mukmin  mendapat  keadilan. Afiqah  dan  Widad  menguntum  senyum.

          “Nampak  gayanya  Uswah  akan  kembali  beroperasi  tak  lama  lagi.” Afiqah  bersemangat. Dia  kemudian  menuju  ke  arah  Fatin  Qistina  untuk  membantu.

          “Huh. Tak  sabar  pula  rasanya.” Widad  sekadar  bermonolog  sendirian. Rindu. Keluarga  Uswah  sememangnya  menyeronokkan. 

1 comment:

  1. assalamualaikum~

    wahh, perkongsian yg sgt menarik!! bnyk info yg boleh dpt. sos cili pun boleh selamatkan nyawa ye. xD

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...