Tuesday, 22 November 2011

Kepercayaan - Cebisan Diari Uswah



Lonely Heart. The  wind  will  go  on  whispering. 
You're  not  alone. Somebody  loves  you. Somebody  believes  in  you. Somebody  is  looking  for  you. Always  somewhere. When  you're  hurt  and  you  fall  upon  your  knees, and  when  you  feel  sorry  about  your  faraway  dreams. 
Don't  look  back, look  up. Just  keep  your  eyes  fixed  at  the  path  you'll  take. Earth  is  a  planet  where  love  dwells. You're  not  alone.” 
(Kamen  Rider  RX)

           Kelihatan  dua  orang  pekerja  KFC  di  situ  keluar. Mereka  mengutip  serpihan  pinggan  plastik  yang  pecah  serta  sisa  makanan  yang  bertaburan  di  atas  lantai. Masing-masing  sekadar  bermasam  muka. Seakan  tidak  senang  dengan  perbuatan  lelaki  tersebut. Murad  dan  Amirul  mereka  berdua  masih  terlopong. Tidak  dapat  menafsir  apa  yang  telah  terjadi. Hakim  kemudiannya  menyambung  kembali  suapannya. Kentang  putar  menjadi  pilihan.


          “Kenapa  itu?” Murad  bingung.

          “Golongan  ekstremis  agaknya.” Hakim  menduga  sambil  lalu. Dia  seakan  malas  mahu  membicarakan  perihal  tersebut. Sudah  banyak  golongan  yang  seumpama  itu  dijumpainya.

          “Golongan  ekstremis? Maksud  anta?” Murad  masih  tidak  mengerti.

          “Golongan  yang  melampaui  bataslah.” Amirul  yang  berada  di  tepi  membantu. Murad  mengangguk  faham.

          Perkara  ini  sudah  lama. Cuma  baru-baru  ini  seakan  muncul  kembali. Golongan  yang  pada  perkiraan  Hakim  tidak  menunjukkan  keindahan  Islam. Pada  kad  pengenalan  mereka  tertera  nama  Islam. Tetapi  yang  malangnya, mereka  menyebabkan  sinar  Islam  itu  terpadam. 

          Mereka  gemar  menyebarkan  perkara  yang  ragu-ragu. Suka  mereka  berita. Mengatakan  syarikat  itu  haram, syarikat  ini  haram, industri  makanan  itu  dan  ini  haram. Tidak  habis-habis  menyebarkan  fitnah. Sedangkan, apa  yang  dikatakan  oleh  mereka  hanya  andaian  yang  tidak  berasas.

          Kita  sedia  maklum, dekad  ini  isu  saudara  kita  palestin  yang  diseksa  oleh  rejim  zionis  semakin  menjadi-jadi. Oleh  itu  muncul  saranan  oleh  sekumpulan  pihak  untuk  mengajak  kita  memboikot  barangan  mereka  yang  diimport  ke  dalam  negara  kita. Malangnya  terdapat  segelintir  golongan  yang  selama  ini  dengki  dengan  kemajuan  industri  makanan  milik  syarikat  Melayu  di  Malaysia  mula  mengatur  gerak. 

          Mereka  mengatakan  syarikat  tersebut  ada  dalam  senarai  yang  perlu  diboikot. Logo  Halal  mereka  diragui. Juga  mengatakan  bahawa  terdapat  kandungan  yang  haram  di  dalam  produk  makanan  sesetengah  industri  tanpa  bukti  yang  kukuh.

          “KFC  ini..” Murad  teragak-agak  mahu  bertanya.

          “Kenapa  dengan  KFC? Anta  rasa  tak  halal  ke  ayam  yang  digoreng  ini?” Hakim  yang  seakan  faham  maksud  Murad  itu  bertanya.

          “Pernah  juga  rasa  macam  itu. Yalah, macam  mana  mereka  nak  sembelih  ratusan  ayam  setiap  hari  kan? Macam  mustahil  sahaja.” Murad  membuat  suatu  andaian. Hakim  tersenyum.

          “Murad, ayam  HPA  halal  tak?” Amirul  di  tepi  tiba-tiba  bertanya. Dia  mendapat  idea  suatu  kaedah  mudah  untuk  menerangkan  kepada  Murad.

          “Mestilah  Halal. Produk  orang  Islam  kan?” Murad  menjawab  penuh  yakin.

          “Kalau  anta  fikir  begitu, ana  nak  tanya. Macam  mana  ayam  itu  disembelih? Kan  banyak  itu? Bukan  mustahil  ke?” Amirul  mengembalikan  persoalan  tadi  kepada  Murad.

          Murad  mati  hujah  dibuatnya. Dia  diam  sebentar. Berfikir. Apa  yang  Amirul  persoalkan  itu  ada  benarnya  juga. Jika  selama  ini  kita  meragui  produk  ayam  KFC  tentang  cara  penyembelihannya  walaupun  sudah  tertera  logo  Halal, kenapa  kita  tidak  pula  meragui  status  halal  produk  HPA? Sedangkan  jika  dikaji  kembali, kedua-dua  syarikat  tersebut  adalah  dimiliki  oleh  orang  Islam. 

          Adakah  kerana  nama  KFC  yang  sebutannya  ada  perkataan  orang  putih, maka  kita  perlu  boikot? Murad  menggeleng  kepala. Jika  ayam  HPA  boleh  disembelih  secara  halal  dengan  jumlah  yang  banyak, maka  bukanlah  suatu  yang  mustahil  buat  produk  ayam  goring  KFC  juga. Murad  kemudian  tersenyum. Mindanya  sedikit  terbuka  untuk  berfikir.

          “Sebenarnya  masyarakat  kita  ini  telah  salah  faham  dengan  konsep  halal  haram  dalam  bab  makanan  ini. Sebagaimana  tersasarnya  kefahaman  bahawa  hanya  produk  HPA  sahaja  yang  halal, sebagaimana  itulah  tersasarnya  kefahaman  hanya  produk  JAKIM  sahaja  yang  halal.”

          Hakim  kemudian  kembali  meneguk  air  Pepsi. Air  itu  sudah  separuh  gelas  habis  diminumnya. Keadaan  Hakim  yang  menerangkan  sambil  lalu  itu  menimbulkan  persoalan. Murad  dan  Amirul  semakin  berminat  untuk  mendengar. 

          Tidak  sangka  pula  kejadian  yang  berlaku  di  restoran  KFC  tadi  membuka  ruang  perbincangan  konsep  halal  dan  haram  dalam  soal  makanan. Air  pepsi  itu  habis  diteguk. Hakim  mengambil  tisu  dan  mengelap  mulutnya.

          “Kaedah  yang  diajar  dalam  Islam  untuk  menentukan  halal  dan  haram  sesuatu  makanan  ialah  segala  yang  ada  di  atas  muka  bumi  adalah  harus  iaitu  halal  melainkan  ada   dalil  atau  bukti  yang  menjelaskan  keharamannya." Hakim  menjelaskan. Hakim  mengangkat  jari  telunjuknya.

          “Dasar  pertama  yang  ditetapkan  dalam  Islam, sesuatu  yang  dicipta  oleh  Allah  adalah  halal. Tidak  ada  satupun  yang  haram, kecuali  jika  ada  nas  yang  sah  dan  tegas  dari  syara’  yang   mengharamkannya.”

          “Kalau  tidak  ada  nas  yang  sah, misalnya  kerana  ada  sebahagian  hadis  yang  lemah  atau  tidak  ada  nas  yang  tegas  menunjukkan  haram. Maka  hal  tersebut  tetap  sebagaimana  asalnya  iaitu  harus  seperti  mana  kata  Dr.Yusuf  al  Qardawi  dalam  Halal  wa  Haram  Fil  Islam.”

          Murad  dan  Amirul  masing-masing  mengangguk. Perhatian  penuh  diberikan. Walaupun  sesekali  Murad  mencapai  kentang  goreng  yang  masih  berbaki  manakala  Amirul  pula  meneguk  air  Pepsi, tetapi  mereka  mendengar  setiap  patah  kata  Hakim  itu  dengan  penuh  minat. Hakim  mempunyai  kemahiran  dalam  menghurai  fakta. Itulah  kelebihan  mereka  yang  suka  membaca.

          “Senang  cerita, Islam  mengajar  kita  bahawa  semua  perkara  adalah  halal  kecuali  ada  dalil  yang  mengharamkannya. Tengok  Sushi  King, aggaplah  restoran  itu  halal. Tengok  Kopitiam, anggaplah  restoran  itu  halal  terlebih  dahulu. Tengok KFC, McD, RFC, anggaplah  semua  itu  halal  juga. Tengok kedai mamak  dan  warung  Mak Nab  pun  dalam  situasi  yang  sama, anggaplah  restoran  mereka  halal. Tetapi   ingat, sekadar  tanggapan.”

          “Selepas  itu, barulah  kita  lihat, ada  atau  tidak   perkara  yang  menyebabkan  makanan  di  restoran  itu  menjadi  tidak  halal. Oh, sesetengah  produk  Sushi  King  ada  menggunakan  arak  mirin, jadi  produk  berkenaan  adalah  tidak  halal. Oh, Kopitiam  tersebut  ada  menggunakan  red  wine  dalam  masakannya, justeru masakan  itu  tidak  halal. Oh, KFC, McD, RFC  tersebut  ada  menggunakan  ayam  yang  diragui  cara  sembelihannya, justeru  ayam  tersebut  tidak  halal. Oh, kedai  mamak  tersebut  tidak  bersih, ada  banyak  tikus  dan  lipas, memudaratkan, justeru  tidak  halal. Oh, curi  makan  di  warung  Mak  Nab  kemudian  lari  tak  bayar, maka  makanan  tersebut  tidak  halal.” Hakim  menerangkan  dalam  keadaan  bersahaja.

          Murad  yang  pada  mulanya  tekun  mendengar  sedikit  tertawa  dengan  kenyataan  terakhir  Hakim. Amirul  sampai  tersedak  akibat  mendengarnya  ketika  sedang  minum  air. Murad  menggeleng  kepala. Kalau  makan  di  restoran  dan  lari  begitu  sahaja  memang  jadi  haramlah  makanan  tersebut  walaupun  makanan  itu  kandungan  di  dalamnya  adalah  halal. Hal  ini  demikian  kerana  cara  mendapatkan  makanan  tersebut  sudah  jelas  haramnya. Saling  tidak  tumpah  samanya  dengan  mencuri. Hakim  sekadar  tersenyum  melihat  reaksi  Amirul  dan  Murad. Dia  kemudian  menyambung  penerangannya.

          “Dalam  Islam, perkara  yang  menyebabkan  sesuatu  makanan  itu  tidak  halal, hanya  ada  dua  iaitu  sumber  bahannya  dan  cara  mendapatkannya. Jika  sumber  bahannya  merupakan  antara  perkara  yang  dilarang  secara  terperinci  oleh  Al  Quran  seperti  daging  khinzir, haiwan  yang  tidak  disembelih  dengan  nama  Allah, bangkai, darah  dan  arak. Juga  yang  dilarang  dalam  hadis  seperti  keldai  dan  binatang buas yang bertaring, maka  makanan  tersebut  menjadi  haram.”

          “Jika  cara  mendapatkan  makanan  itu  haram, seperti  menang  judi, mencuri  dan  merompak, maka  walaupun  makanan  itu  halalan  toyyiban  serta  lazat  lagi  berzat  sekalipun, makanan  tersebut  tetap  haram.”

          Hakim  berhenti  seketika  sambil  mencapai  cawan  untuk  menghirup  air. Kali  ini  dia  menggunakan  straw. Dahaga  agaknya. Amirul  dan  Murad  mengangguk. Masing-masing  jelas  dengan  penerangan  Hakim  yang  agak  mudah  difahami  dan  santai  itu.

          “Bagaimana  dengan  tukang  masak  yang  bukan  Islam? Kita  boleh  ke  makan  di  gerai  mereka?” Murad  bertanya. Hakim  sekadar  mengangkat  kening. Selesai  menghirup  dia  menarik  nafas  dan  menghembusnya  kembali. Mengumpul  semangat  untuk  menerangkan.

          “Siapa  yang  memasak  tidak  menjadi  persoalan  dalam  menentukan  halal  atau  haram  sesuatu  makanan. Walaupun  yang  memasak  itu  orang  Cina, kita  disuruh  untuk  tengok  apa  yang  dimasak  terlebih  dahulu.” Murad  mengangguk. Penerangan  yang  jelas. Hakim  kemudian  mengambil  menu  yang  terletak  di  atas  meja. Di  menu  tersebut  ada  logo  halal  JAKIM.

          “Di  Malaysia, JAKIM  adalah  satu  organisasi  yang  memudahkan  kita  untuk  menyiasat  dari  aspek  sumber  bahan  yang  digunakan  dalam  sesuatu  produk. Contohnya  biskut, kita  tak  mampu  nak  ke  kilang  industri  mereka  untuk  memastikan  sama  ada  betul  atau  tidak  bahan  yang  mereka  guna  itu  adalah  daripada  sumber  halal. Dari  situ  peri  pentingnya  JAKIM.” Hakim  menyambung  sambil  jarinya  menunjuk  ke  arah  logo  halal  JAKIM  yang  tertera  di  menu  tersebut. Murad  dan  Amirul  mengangguk.

          “Namun  jika  kita  yakin  sama  ada  dengan  menyemak  bahan  kandungan  atau  melihat  sendiri  proses  pembuatan  atau  mengikut  common  sense, maka  tak  perlulah  kita  bergantung  kepada  JAKIM. Menyemak  bahan  kandungan  pula  perlu  tengok  pada  unsur  daging  sama  ada  meragukan  atau  tidak. Juga kenalah  tahu  prinsip  mengenai  E-Code  dan  sebagainya.”

          “Dari  sudut  melihat  sendiri  proses  pembuatan  pula. Jika  kita  sendiri  sudah  tengok  abang  yang  jual  burger  itu  masak  depan  kita, kita  tengok  sendiri  dia  ambil  daging  burger  Ramli  yang  sudah  pastinya  halal, kita  tengok  sendiri  dia  guna  Sos  Maggi  yang  halal, kita  tengok  sendiri  dia  guna  roti  burger  Pak  Yahya, tak  akanlah  kita  nak  tanya  abang  itu  lagi, ‘Abang, buka  gerai  burger  ini, ada  sijil  halal  tak?’ ”

          Sekali  lagi  Murad  dan  Amirul  tertawa. Hakim  memang  pandai  menarik  minat  para  pendengar  untuk  mendengar  penerangannya. Walaupun  panjang  lebar, tetapi  tidak  membosankan. Amirul  dan  Murad  kemudiannya  saling  mengangguk  kepala. Mendengar  penerangan  Hakim  itu, mengangguk  sahajalah  kerja  mereka.

          “Common  sense, tak  akan  air  mineral  pun  nak  tengok  sijil  halal  kan? Buah  tembikai  pun  nak  tengok  sijil  halal  kan?” Murad  menambah. Amirul  sekadar  tersenyum. Betul  juga. Tidak  semua  perlu  kepada  sijil  halal  JAKIM.

          Pendek  kata, prinsip  yang  perlu  difahami  mengenai  JAKIM, kalau  ada  sijil  JAKIM, semestinya  halal. Kalau  tak  ada  sijil  JAKIM,  halal  kecuali  kalau  kita  tahu  ada  sebab  yang  mengharamkannya. Kesimpulan  di  sini, kalau ada  sijil  JAKIM, makanlah  tanpa  was-was. Kalau  tiada  sijil  JAKIM, maka  pandai-pandailah  meyakinkan  diri  sendiri.

          Was-was  ini terletak  pada  individu. Was-was  anda  tidak  sama  dengan  orang  lain.  Anda  mungkin  was-was  nak  makan  di  warung  Mak  Nab  kerana  dia  goreng  mee  sambil  tidak  memakai  tudung, tetapi  orang  lain  yang  mungkin  lebih  bijak  tahu  yang  bahawasanya  tukang  masak  itu  memakai  tudung  ke  tidak  bukan  faktor  yang  menyebabkan  mee  gorengnya  menjadi  haram.

          Jadi  tidak  perlulah  kita  mengajak  orang  ramai  agar  memboikot  warung  Mak  Nab, semata-mata  kerana  anda  yang  berfikiran  sedemikian. Begitu  juga  dengan  restoran-restoran  lain. Perkara  itu  adalah  suatu  bentuk  kezaliman  kerana  meletakkan  sesuatu  itu  tidak  kena  pada  tempatnya.

          “Cukuplah  setakat  ini  ya  anak-anak. Kalau  nak  sambung, sampai  lusa  pun  tak  habis.” Hakim  mengakhiri  penerangannya.

          “Baiklah  ustaz.” Amirul  melayan. Mereka  bertiga  berbalas  senyuman.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...