Saturday 21 September 2013

Pegang Erat Tanganku ~

Lihat sahaja tajuk ini, apa yang terlintas di benak fikiran kita? Adakah tajuk ini berkisar tentang sahabat? Tentang ukhuwah? Ataupun tentang keluarga? Nak Islamik sikit, tentang sang hamba dan Pencipta? Ke ada yang terfikir tentang si dia? Pelbagai persepsi.

            Namun, apa yang ingin dimaksudkan dengan pegang erat di sini, tak kisahlah kita pegang erat tangan sesiapa pun, yang penting kita pegang dengan erat dan erat itu bukan bermaksud saluran tenaga atau kuasa yang mengalir. Tetapi kita pegang dengan hati kita. Ha, macam mana itu?



Realiti Dalam Bersahabat.

           Pegang erat tanganku, mungkin dalam konteks sebagai sahabat lebih mudah untuk kita fahami. Sebab, sekarang kan sangat famous dengan laungan ukhuwah fillah. Jika kita fikir-fikir balik, apa sebenarnya yang kita harapkan apabila kamu bersahabat dengan seseorang? Apa yang kita harapkan daripada kawan-kawan kita ini? Kepercayaan? Kesetiaan? Selalu yang kita dengar, nak masuk syurga sama-samalah kan.

Kadang-kadang kita rasa yang kita ini nak jadi sahabat yang terbaik. Nak jadi sahabat setia yang sanggup berkorban apa sahaja. Jadi, kita pun nasihat sahabat kita, ajak pergi ceramah sama-sama, solat sama-sama. Tapi pada hakikatnya, jauh di sudut hati kita ini ada perasaan yang kita nak lebih daripada dia. Kita rasa yang kita perlu lebih daripada dia.
     
       Kenapa? Sebabnya, zaman kita ini adalah zaman pentingkan diri. Berbeza dengan zaman ibubapa kita dahulu yang mana mereka amat mementingkan anak-anak mereka. Ibubapa dahulu sanggup beri apa sahaja demi kebahagiaan anak mereka, tetapi kita ini berbeza. Contohnya macam, kita ini, kalau nak balik rumah pun berkira-kira dengan ibubapa. Di rumah pun, kita tak adalah sebaik mana dengan ibubapa.
           
Senang cerita, zaman kita ini memang zaman pentingkan dirilah. Nak cakap ukhuwah erat semua itu, mungkin perkara itu tak akan dapat dicapai selagi mana kita tak membina asas yang kukuh dalam hati kita.


Cinta Allah Adalah Asas Utama.

            Tak perlu nak bermimpilah, pegang erat tangan sahabat, pegang erat tangan ibubapa. Selagi mana kita tak pegang erat cinta kita kepada Allah, Rasulullah dan juga al Quran. Jadi, asas utama daripada kita nak pegang erat ke, atau pegang cinta kepada sesiapa pun, perlu bermula daripada cinta kepada Allah, cinta kepada Rasulullah dan al Quran, seterusnya kepada manusia.
        
    Sebabnya, apabila kita dah sandarkan cinta kita kepada Pencipta, Dia yang akan membuka ruang-ruang untuk kita mencintai sahabat kita yang lain. Kalau difikir kembali, kita kan buat segala perkara ini kerana Allah. Jadi, kalau kita nak pegang erat tangan-tangan sahabat kita ini, kita kenalah cari cinta kita kepada Allah Ta’ala dulu. Kena cari cinta kita kepada Rasulullah dan al Quran dulu, kemudian barulah mahabbah itu akan mengalir kepada sahabat kita yang lain.
        
    Persoalannya, macam mana nak cari cinta kepada Allah ini? Ha, ada jawapan? Senang ke susah sebenarnya? Cari cinta manusia senang tak? Sekali pandang dah jatuh cinta kan. Dari mata turun ke hatilah katakan. Cinta kepada Allah ini, susah nak dapat sebenarnya. Sebab itulah apabila kita dah dapat, kita akan rasa bahagia dunia akhirat, kerana apa? Kerana perkara yang susah itulah yang akhirnya akan membahagiakan kita.
        
    Kita akan rasa, betapa manisnya nilai usaha dalam sebuah kembara mencari cinta Yang Esa. Jadi, mahu atau tidak, kita kena berusahalah untuk dapatkan perkara yang paling susah itu. Lagipun kita ini kan hambaNya. Kita perlu buktikan, sejauh mana kita mencintai pencipta kita atau sedalam mana kita mencintaiNya seperti mana Allah mencintai kita. Perasan tak Allah sangat mencintai kita? Kalau Allah tak cintakan kita,  entah wujud ke tidak kita ini kan.


Interaksi Dengan Allah Sebagai Langkah.

            Kadang-kadang kita ini sering lupa. Yalah sebagai manusia ini, hidup di dunia yang penuh ujian dan dugaan, diselam tak jejak ke dasar, ditimba tak luak setitis. Sedar tak sedar, kita banyak terleka dengan urusan dunia. Sampai satu ketika, kita tak ingat pun kepada Allah, dalam sehari, sesaat, mahupun beberapa jangka masa. Sedangkan Allah suruh kita ingat Dia pada setiap masa walau di mana jua kita berada.

Ha, jadi nak buat macam mana? Bawa tasbih ke hulu-hilir ke? Sebenarnya, tasbih itu tak perlu bawa pun tak apa, yang penting kita bawa Allah. Walaupun kita tak dapat beristighfar atau berzikir sepanjang masa, asalkan kita ingat Allah itu ada dekat dengan kita pun kira jadilah. Itulah yang dimaksudkan dengan kita bawa Allah. Kita pergi padang, kita ingat Allah. Kita pergi kafe, nak makan takoyaki, kita ingat Allah. Kita tengok tv, drama Jepun atau Korea, kita ingat Allah.
        
    Apabila kita ingat Allah, secara automatiknya kita rasa yang diri kita ini perlu jadi seorang yang baik. Kita perlu jaga diri kita. Umpama kita berinteraksi dengan Allah. Ada ke Allah nak diri kita ini jadi jahat? Tak ada kan. Apabila kita berinteraksi dengan Allah, kita akan rasa bahawa Allah itu dekat. 

    Sama macam hubungan antara manusia. Jika kita nak lebih dekat dengan seseorang, kita berinteraksi dengan dia. Sebab, kalau tak berinteraksi macam mana kita nak kenal dia, nak minta tolong dengan dia kan? Sama jugalah prinsipnya dengan Allah dan sesiapa sahaja yang kita nak dekat dengan dia. Kita kena berinteraksi dengan dia. Tapi, dengan cara bagaimana? Kan kita tak nampak Allah?

Jawapannya, dengan cara kita solat, kita baca doa, kita baca al Quran. Kita boleh berinteraksi dengan Allah. Ingat, tak semestinya kita berinteraksi itu, kena guna bahasa Arab sahaja. Sebabnya, Allah itu kan Maha Mengetahui. Dia Tahu semua bahasa. Cakap bahasa Melayu pun boleh, cakap bahasa Cina pun kalau boleh cakap, go on sahajalah.

Kalau bahasa itu boleh mendekatkan diri kita kepada Allah, gunalah bahasa tersebut. Apa yang penting, daripada kaedah berinteraksi dengan Allah ini, kita akan rasa yang kita ini kena jadi orang yang baik. Sebab semua manusia nak jadi baik kan? Sejahat-jahat mana pun, dia ada sekelumit di dalam hati dia untuk jadi insan yang baik.


Cinta Allah Itu Rahsia Antara Kita Dan Dia.

            Berbalik semula pada persoalan utama tadi, macam mana nak dapatkan cinta Allah? Berusahalah jadi baik, buangkan sifat pentingkan diri, mencintai Rasulullah. Ha, cinta Rasul pula macam mana? Mestilah kena ikut segala sunnahnya kan, berselawat. Dalam kita berselawat itu kan, kadang-kadang kita ini sekadar berselawat di mulut sahaja, perasan tak? Tak rasa sampai ke hati pun. 

          Jadinya macam mana kita nak rasa yang selawat kita itu, zikir kita itu sampai ke hati dan membuatkan kita rasa yang Allah itu dekat dengan kita? Sehingga membuatkan kita bersujud memohon ampun, ‘Ya Allah, minta maaf Ya Allah.’. Sampai kita rasa yang kita ini hamba yang sangat kerdil. Tiada nilai melainkan Rahmat dan Kasih Sayang yang Allah kurniakan kepada kita.

            Sebenarnya, kalau nak dapat cinta Allah dan Rasul ini, kita kena latih diri kita untuk berzikir dan berselawat dalam keadaan yang mana kita ini bersendirian. Macam baginda Rasulullah, ada ketikanya baginda mengasingkan diri daripada masyarakat untuk bersendirian. 

          Sebab apa? Supaya baginda dapat bermuhasabah diri. Macam kita juga, sebab kalau kita bersama manusia ini, kita macam susah sikit kan, nak dapat rasa dekat dengan Allah itu. Kita nak menghayati bait-bait al Quran. Rasa susah nak dapat, kadang-kadang kita baca sekadar sebab orang sebelah kita baca. Sekadar mahu istiqamah. Tetapi kira oklah itu nak istiqamah, cuma ada ketikanya kita perlu lihat kembali apa yang kita baca sebelum ini. Adakah hanya berlalu begitu sahaja.

            Lagipun cinta kita kepada Allah ini kan rahsia antara kita dengan Dia. Nak beritahu orang lain buat apa kan. Sekadar mahu menjemput segala rasa riak, ujub, takbur semua itu bolehlah. Apabila kita kata rahsia, maka yang perlu tahu hanyalah kita dan Dia. Dia lebih memahami, keperluan hambaNya. Wallahualam.

Yosh! ^^


*Dirumus daripada video - Pegang Erat Tanganku (Fatimah Zahra).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...