“Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan ( apa yang dihinggapinya ) .”
(Riwayat : Ahmad, Al-Hakim, dan Al-Bazzar)
Manusia itu Allah kurniakan akal buat mereka berfikir, mengkaji dan belajar. Tetapi lain pula ceritanya berbanding haiwan. Ya, mereka memang tidak mempunyai akal untuk membezakan antara yang hak dan batil. Tetapi, siapa sangka yang kehidupan sang lebah juga mempunyai hikmah yang mampu untuk kita contohi.Kali ini mari saya bawa anda meneroka hikmah yang ada pada sang lebah pula....
Seorang mukmin itu adalah manusia yang memiliki sifat unggul. Sifat itu membuatkan mereka memiliki keistimewaan jika dibandingkan dengan manusia yang lain. Sehinggakan walau dimana jua dia berada, kemana jua dia pergi, walau apa jua yang dia lakukan, peranan dan tugas apa pun yang dia laksanakan, insyaAllah akan selalu membawa manfaat dan maslahat bagi manusia lain.
Maka jadilah dia seperti mereka yang dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W
“Manusia paling baik adalah mereka yang paling banyak memberikan manfaat bagi manusia lain.”
Kehidupan kita sendiri akan menjadi lebih indah, menyenangkan, dan sejahtera jika terdapat mereka yang mengamalkan apa yang disarankan oleh Rasulullah dalam hadis baginda itu tadi. Hasratnya adalah satu, menjadi apa pun, dia akan menjadi yang terbaik. Apa pun peranan dan fungsinya maka segala yang dia lakukan adalah perkara yang membuatkan orang lain menjadi bahagia dan sejahtera. Indahnya hidup...
Letter Bee. Nota ilham yang dikurniakan kepada seekor lebah. Mari kita buka nota ini, hikmah yang tersirat disebalik ilham itu ada dibicarakan dalam nota ini. Sifat yang baik itu antara lainnya terdapat juga pada sang lebah.
Rasulullah S.A.W dengan pernyataan baginda dalam hadith yang dinyatakan tadi, secara tidak lansung mengajak kita agar meniru sifat positif yang dimiliki oleh lebah. Tentu sahaja sifat itu sendiri merupakan ilham daripada Allah S.W.T.
"Dan Tuhanmu mewahyukan (mengilhamkan) kepada lebah, 'buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat yang dibikin manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). 'Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Rabb) bagi mereka yang memikirkan."
(Surah An-Nahl: 68-69)
Sekarang, jom kita bandingkan apa yang dilakukan oleh sang lebah dengan apa yang seharusnya dilakukan oleh seorang mukmin...
Hinggap di tempat yang bersih dan mengambil hanya yang bersih.
Lebah hanya hinggap di tempat-tempat yang terpilih. Lebah ini kalau kita nak tahu sangat jauh berbeza dengan lalat. Serangga terakhir yang amat mudah ditemui di tempat sampah, kotoran, dan tempat-tempat yang berbau busuk. Tapi lebah, berbeza ya pembaca sekalian. Lebah hanya akan datang kepada bunga, buah-buahan, dan tempat yang bersih dan yang mengandungi bahan madu atau nektar sahaja.
Begitulah pula sifat seorang mukmin itu. Allah swt. berfirman:
“Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu.”
(Surah Al-Baqarah: 168)
(Iaitu) mereka yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma’ruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka mereka yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Qur’an), mereka itulah orang yang beruntung.
(Surah Al-A’raf: 157)
Sifat orang mukmin itu, jika dia diberi amanah, insyaAllah dia akan menjaganya dengan sebaik-baik mungkin. Dia tidak akan melakukan rasuah, pencurian, penyalahgunaan kuasa, manipulasi, penipuan dan seumpama dengannya. Sebab, segala rezeki yang hasilnya daripada perbuatan jahat itu tadi adalah merupakan khabaits (kebusukan). Jadilah seperti lebah, jangan jadi lalat ya. Tak seronok jadi lalat. Bawa penyakit sahaja, masyarakat juga yang kena tanggung akibatnya.
Mengeluarkan yang bersih.
Siapa tak kenal madu lebah. Semua orang tahu bahawa madu lebah mempunyai khasiat untuk kesihatan manusia. Malah mampu untuk dijadikan penawar. Tapi daripada organ tubuh manakah lebah itu mengeluarkan madu? Itulah salah satu keistimewaan lebah. Lebah ini kalau adik-adik nak tahu, merupakan produktif yang baik. Bahkan kalau kita tengok, organ tubuh yang pada binatang lain hanya mengeluarkan sesuatu yang tidak bersih, lebah pula sebaliknya. Dewasa ini pula, kita boleh dapati produk daripada lebah selain madu yang mana juga diyakini mempunyai khasiat tertentu untuk kesihatan. Nak tahu? Ya, produk itu adalah air liurnya!
Seorang mukmin itu adalah mereka yang produktif dengan kebajikan.
“Hai orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Rabbmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.”
(Surah Al-Hajj: 77)
Al-khair adalah kebaikan atau kebajikan. Tetapi al-khair dalam ayat di atas bukan merujuk kepada kebaikan dalam bentuk ibadah ritual. Sebabnya adik-adik, perintah ke arah ibadah ritual sudah terwakil dengan kalimah “rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Rabbmu” (irka’u, wasjudu, wa’budu rabbakum). Al-khair dalam ayat itu memberi makna kebaikan atau kebajikan yang buahnya dirasakan oleh manusia dan makhluk yang lain.
Segala yang keluar daripada diri mukmin itu adalah kebaikan. Hatinya jauh daripada prasangka buruk, iri hati, hasad dengki dan lidahnya tidak mengeluarkan sebarang kata-kata kecuali kata-kata yang baik. Perbuatannya tidak menyusahkan orang lain bahkan membahagiakan mereka. Hartanya bermanfaat bagi masyarakat sekeliling. Jika dia berkuasa atau memegang amanah tertentu, perkara itu akan dimanfaatkannya sebaik mungkin untuk memberi sebesar-besar kemanfaatan kepada manusia.
Tidak pernah merosakkan
Yup, seperti disebutkan dalam hadith berkenaan apa yang sedang kita bahaskan ini. Lebah tidak pernah merosakkan atau mematahkan ranting yang pada tempat lebah itu hinggap. Begitulah juga bagi seorang mukmin. Seorang mukmin itu tidak pernah melakukan kerosakan dalam hal apa pun. Jika ada, itupun kerana tidak sengaja, baik dari segi material mahupun nonmaterial. Bahkan seorang mukmin itu selalu melakukan kebaikan dan pembetulan yang berhikmah terhadap apa yang dilakukan oleh masyarakat sekeliling dengan cara yang tepat.
Seorang mukmin itu membetulkan akidah, akhlak, dan ibadah masyarakat sekeliling dengan cara berdakwah bil hikmah. Mengubah kezaliman walau apa pun bentuknya dengan cara berusaha menghentikan kezaliman itu. Jika kerosakan terjadi akibat rasuah, dia akan memberantas rasuah itu dengan cara menjauhi perilaku buruk itu dan mengajukan si pemberi atau penerima rasuah ke muka pengadilan.
Bekerja keras dan rajin
Lebah adalah pekerja yang amat rajin. Satu genglah dengan semut. Adik-adik nak tahu, ketika lebah itu muncul buat pertama kali daripada telurnya (menetas), lebah pekerja akan membersihkan bilik sarangnya untuk telur yang baru. Setelah berumur tiga hari lebah itu memberi makan larva dengan membawakan serbuk sari madu. Begitulah hari-hari mereka yang penuh semangat bagi mereka berkarya dan beramal.
Bukankah Allah juga memerintahkan umat mukminin supaya bekerja keras?
“Maka apabila kamu telah selesai (daripada sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain.”
(Surah Al Insyirah: 7)
Kerja keras dan semangat pantang mengaku kalah itu lebih dituntut lagi dalam usaha menegakkan keadilan. Ya, keadilan perlu ditegakkan. Semua ini kerana walaupun memang ramai mereka yang cinta akan keadilan, namun kebanyakan manusia zaman sekarang ini tidak suka jika diri mereka “rugi” dalam usaha menegakkan keadilan.
Bekerja itu pula perlulah secara jama’i dan tunduk pada satu pimpinan. Lebah ini selalu hidup dalam koloni yang besar, tidak pernah menyendiri. Mereka pun bekerja secara kolektif, masing-masing ada tugas tersendiri. Ketika mereka mendapatkan sumber sari madu, mereka akan memanggil kawan-kawan mereka untuk menghisap madu itu.
Begitu juga ketika ada bahaya yang datang, seekor lebah akan mengeluarkan feromon (suatu zat kimia yang dikeluarkan oleh binatang tertentu untuk memberi isyarat tertentu) untuk geng-geng lebah yang lain agar membantu lebah yang seekor itu. Sebab itu kalau kita bunuh lebah seekor, akan datanglah seangkatan tentera udara mereka menyerang kita. Begitu jugalah seharusnya sikap mereka yang beriman.
“Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”
(Surah As Shaff: 4)
Tidak pernah menyerang kecuali diganggu.
Lebah tidak pernah memulakan serangan. Lebah hanya akan menyerang apabila mereka berasa terganggu atau terancam. Kalau pembaca nak tahu, bagi mempertahankan “maruah” umat lebah ini, mereka rela mati dengan cara melepaskan sengat mereka di tubuh pihak lawan.
Sikap seorang mukmin itu pula, musuh itu tidak dicari. Tapi jika ada, janganlah pula lari.
Seorang mukmin itu sanggup mati semata-mata untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Kan?
Itulah beberapa karakter lebah yang patut kita contohi. Bukanlah sesuatu yang sia-sia bagi Allah menyebut dan mengabadikan binatang kecil itu dalam Al-Quran sebagai salah satu nama surah..surah An-Nahl.
Yosh!!!
السلم عليكم ورحمة الله
ReplyDeleteSangat terkesan penghuraiannya...
wa'alaikumussalam...
ReplyDeleteAlhamdulillah, pintu hikmah itu telah ternuka buat kita..~