"Takdir itu diiringi hikmah. Jadi usahlah bersedih dengan apa yang menimpamu. Yakin dengan janjiNya dan usahalah untuk terus melangkah."
Alhamdulillah, diberi kesempatan lagi untuk menaip. Jemari yang sudah lama tidur ini akhirnya bangkit. Bangkit dari lena yang amatlah panjang. Lena yang dalamnya mencari identiti. Juga semangat dan dia yang sudah lama menghilang. Baru-baru ini seakan hadir kembali. Alhamdulillah..
Hidup ini tidak panjang. Semua bergantung kepada ketetapanNya. Apa yang ada pada diri kita tidak kekal. Bila-bila masa sahaja akan diambil olehNya kembali. Cakap tentang ini, daku teringat drama One Litre of Tears.
Drama yang benar-benar membuatkan diriku tersentuh untuk bangun kembali. Kembali berpijak dan berdiri dengan usaha sendiri.
Kisah seorang gadis yang bernama Ikeuchi Aya. Menghidap penyakit Spinocerebellar Atrophy. Penyakit yang agak kejam, secara perlahan menyebabkan sistem saraf kita tidak berfungsi. Tiada penawar, yang ada hanya cara untuk melambatkan proses..
Sungguh, apabila daku meletakkan diriku di tempatnya. Daku sebak. Diriku yakin, perkara ini diluar kemampuanku. Daku tidak tabah. Diriku tidak kuat. Tidak mampu meneruskan hidup dengan masa depan yang kian malap.
Namun, tidak bagi dirinya. Hari-harinya ditempuhi dengan tabah. Setiap hari itu jugalah kesan penyakit itu semakin kelihatan. Daripada tidak boleh berlari sehinggalah tidak boleh berdiri. Tidak boleh menulis. Sungguh, daku sebak. Apabila melihat Aya, daku terfikir. Betapa selama ini daku kufur akan nikmat yang Dia berikan. Betapa daku selama ini lalai dibuai khayalan.
Ya, jika difikirkan kembali. Daku tidak layak pun digelar mukmin. Sedikit ujian yang hadir, banyak pula daku persoalkan. Hari demi hari hati ini seakan jauh denganNya. Hari demi hari personaliti dia lesap dalam diriku.
Aya pula amat jauh bezanya dengan diriku. Dia tabah. Sentiasa berusaha walau harapan itu hanyalah tipis. Dengan cebisan itu dia melangkah. Membantu apa yang dia mampu. Meneruskan hidup dengan lebih optimis. Aya dan Shirou tidak jauh bezanya. Apabila daku melihat mereka, inspirasi hadir tanpa diminta.
Ya, daku perlu kuat. Sebab, daku sudah memilih untuk menjadi umat baginda. Daku telah memilih untuk menyokong dakwah baginda. Menjadi tali penyambung perjuangan baginda. Ibarat biji tasbih yang diikat dengan ratib kasih sayangNya.
Bangkit, bangkitlah. Bangunlah kembali wahai diri. Gunakan segala nikmat yang diberi. Daku tidak mahu menyesal di kemudian hari. Ya Allah, dengan izinMu akan ku langkahkan kaki ini.
Yosh!
No comments:
Post a Comment