Wednesday 16 November 2011

Fitnah - Cebisan Diari Uswah




Bilik  Kelas  Kemahiran  Al  Quran  itu  sedikit  gamat  dengan  perbincangan  soalan  kuiz  Ustazah  Sa’adiah. Pelajar  yang  berada  di  dalamnya  masing-masing  sedang  sibuk  berbincang. Pada  sesi  pembelajaran  hari  itu, Ustazah  Sa’adiah  sengaja  membincangkan  tajuk  fitnah. 


          Memandangkan  di  media  massa  sekarang  ini  asyik  dihidangkan  dengan  fitnah  yang  melata. Tidak  kira  pangkat  atau  darjat, dari  politik  sehinggalah  kepada  artis-artis  popular. Terlalu banyak  khabar  angin  yang  didengari. Malangnya  kebanyakan  berita  itu  adalah  perkara  aib  yang  saling  mahu  menjatuhkan  antara  satu  sama  lain. 

          Ustazah  Sa’adiah  mengambil  langkah  bijak  untuk  membincangkan  topik  ini  sebagai  langkah  awal  untuk  mengubah  persepsi  anak  muridnya  untuk  menjauhi  fitnah.

          “Huhu..kali  ini  ustazah  memang  tak  beri  peluang. Manalah  ana  ingat  peristiwa  hadis  al  ifk  itu.” Aliff  membuka  songkoknya  dan  menggaru-garu  kepala  yang  tidak  gatal. Pening  mengumpul  cebisan  ingatan  yang  sudah  hilang  entah  ke  mana  berkenaan  kisah  hadis  al  ifk. Ustazah  Sa’adiah  ternyata  pandai  memberi  soalan  membunuh.

          “Memanglah  tak  beri  peluang. Tengoklah  hadiahnya  apa, rojak  ayam  itu!” Murad  mula  membayangkan  semangkuk  rojak  yang  mengandungi  mi  serta  hiasan  cebisan  daging  ayam  yang  dipotong  kecil-kecil  bersama  kuah  kacang  yang  sememangnya  menyebabkan  air  liurnya  hampir  meleleh.

          “Anta  ini  kalau  pasal  makan, memang  nombor  satu!” Aliff  menggeleng. Dia  kemudiannya  memandang  ke  arah  papan  putih.

          Aliff  mengeluh  panjang. Keputusan  markah  yang  terpapar  di  papan  putih  itu  sedikit  mengecewakan. Kuiz  Pendidikan  Syariah  Islamiah  hari  ini  sememangnya  amat  sukar. Kumpulannya  yang  selama  ini  mendahului  nampaknya  sudah  dipintas. 

          Tambahan  dengan  ketiadaan  Hakim  di  dalam  kumpulannya  itu  ternyata  merupakan  suatu  kerugian  yang  amat  besar. Kuiz  kali  ini  berkaitan  sirah, tajuk  yang  paling  digemari  oleh  ketua  Uswah. Murad  pula  memandang  pelajar  yang  lain. Masing-masing  kelihatannya  masih  tercari-cari. Apakah  nama  sahabat  yang  telah  difitnah  ketika  peristiwa  hadis  al  ifk  itu?

          “Masa  hanya  tinggal  dua  minit  sahaja  lagi.” Ustazah  Sa’adiah  mengingatkan.

          Pelajar  yang  lain  masing-masing  mengeluh. Sebahagian  besarnya  sudah  mengalah. Mereka  mula  berhenti  berbincang. Aliff  juga  berkeadaan  demikian. Nampak  gayanya, rekod  yang  dicipta  berdasarkan  keputusan  menang  tanpa  kalah  dalam  kuiz  Ustazah  Sa’adiah  ini  dengan  rasminya  akan  tercalar. 

          Murad  masih  tidak  mengalah. Bukan  kemenangan  yang  dikejar, bukan  jua  demi  menjaga  rekod  mereka. Murad  lebih  berminat  dengan  hadiah  yang  ditawarkan.

          “Al  ifk, al  ifk..” Murad  mula  mengusap-usap  dagunya. Dia  kemudian  memejamkan  mata. Lama  dia  berfikir.

          “Satu  minit  lima  belas  saat  lagi.” Ustazah  Sa’adiah  semakin  menekan. Pelajar  yang  lain  masing-masing  sudah  secara  total  menyerah. Mereka  menanti  jawapan. Murad  masih  dalam  keadaan  memejamkan  mata. Dia  sedaya  upaya  cuba  mengingati  sebarang  peristiwa  yang  ada  kaitan  dengan  perkataan  ‘al  ifk’.

          ‘Khabar  al  ifk  satu  titik  pemula...’ Mata  Murad  mula  berkelip. Dia  mendongak  dan  kemudian  merenung  meja. Ayat  itu  bermain-main  di  mindanya.

          ‘Telah  mencalar  kebahagiaan. Fitnah  munafiqun  tak  kenal  sesiapa...’ Murad  teringat, lagu  Unic! Tetapi, apa  tajuknya? Dia  masih  mencari. Murad  menjadi  tidak  keruan. Sekejap  dia  menggaru  kepala, pada  waktu  yang  lain  pula  dia  mengetuk  meja. Ustazah  Sa’adiah  serta  pelajar  yang  lain  hairan  melihatnya.

          “30  saat  lagi..” Murad  semakin  terhimpit. Sedaya  upaya  dia  cuba  mengingati  bait-bait  lirik  lagu  tersebut  bagi  mencari  panduan  kepada  tajuknya.

          ‘Wajah  berseri  pipi  kemerahan. Engkau  digelar  Aisyah  Humaira’...’ Itu  dia! Murad  sudah  mendapat  jawapannya!

          “Saidatina  Aisyah  Humaira’!”

          Aliff  mengangkat  kening. Dia  kemudian  memalingkan  mukanya  ke  arah  belakang  bilik  tersebut. Aliff  memandang  insan  itu  dan  menggeleng  kepala. Belakang  bahu  Murad  ditepuknya. “Kalah  lagi..” Aliff  meniru  gaya  suara  watak  penjahat  dalam  animasi  Mon  Colle  Knight. Pelajar  yang  lain  pula  seakan  tidak  percaya. Ustazah  Sa’adiah  juga  sepertinya  menerima  suatu  kejutan  yang  amat  besar. Fira  sekadar  menguntum  senyum. Qibah  ternyata  membuat  kejutan.

          “Mumtaz! Tepat  sekali!” Ustazah  Sa’adiah  mengangguk.

          “Nanti  jumpa  saya  di  bilik  guru  ya, rojak  ayam  istimewa  untuk  pelajar  kesayangan  menanti  di  sana.” Ustazah  Sa’adiah  menghadiahkan  senyum  manis  ke  arah  Qibah. Qibah  pula  sekadar  tersipu-sipu  malu. Dalam  diam, dia  juga  menguntum  senyum. Hati  siapa  tidak  berbunga  jika  dipuji  demikian. 

          Namun  dia  sentiasa  ingat  akan  pesan  ketuanya, berhati-hati  dengan  bisikan  syaitan. Pujian  itu  secara  positif  akan  menjadi  api  pembakar  yang  menyemarakkan  semangat. Tetapi  dari  sudut  negatifnya  boleh  membawa  kepada  kemusnahan  diri. Perkara  yang  bersangkut  paut  dengan  perasaan  riak. Qibah  beristighfar. Moga  dirinya  sentiasa  dijauhkan  daripada  perasaan  itu.

          “Tahniah.” Fira  berbisik  di  tepi. Tangannya  mencuit  bahu  Qibah.

          “Terima  kasih.” Senyuman  Qibah  semakin  lebar.

          Murad  mengetap  bibir. Hanya  beberapa  saat  sahaja  yang  membezakan  dia  dengan  Qibah. Tetapi  nasib  tidak  menyebelahinya. Sungguh  perit  rasanya  apabila  hadiah  utama  yang  menjadi  makanan  kegemarannya  itu  jatuh  ke  tangan  lawan. 

          Murad  kemudian  menongkat  dagu. Dia  berfikir, bagaimana  mungkin  penolong  Uswah  ini  mampu  menjawab  soalan  itu? Sirah  bukanlah  subjek  kegemaran  Qibah. Tidak  lama  selepas  itu  Murad  teringat  sesuatu. Dia  menepuk  dahi.

          “Alamak....” Murad  terus  menekup  muka. Baru  dia  sedar  yang  Hakim  pernah  menceritakan  kisah  hadis  al  ifk  sewaktu  perjumpaan  mereka  minggu  lepas. Patutlah  si  Qibah  itu  dapat  jawab. Murad  menggeleng. Gabungan  antara  kelas  5  Zuhal  dan  5  Neptun  ternyata  memberi  saingan  kepada  kumpulan  mereka.

          “Baiklah, kita  berhenti  setakat  ini  dahulu  untuk  sesi  kuiz  kita  hari  ini. Ustazah  berminat  nak  bercerita  tentang  hikmah  hadis  al  ifk.” Ustazah  Sa’adiah  bangun  dan  memadam  jadual  markah  yang  terpapar  di  papan  putih. Selesai  memadam, dia  kembali  duduk  dan  menutup  buku  teks  Pendidikan  Syariah  Islamiah. Pelajar  yang  lain  masing-masing  memasang  telinga. Seakan  tidak  sabar  mahu  mendengar.

          “Peristiwa  ini  berlaku  pada  zaman  Rasulullah  dahulu. Sewaktu  itu  tentera  muslim  baru  sahaja  balik  dari  suatu  peperangan. Saidatina  Aisyah  sebagai  isteri  baginda  mengikut  serta. Sampai  di  suatu  perhentian, Saidatina  Aisyah  pergi  membuang  air. Setelah  selesai, beliau  pun  balik  kepada  kumpulan  mereka. Namun  tiba-tiba  beliau  tersedar  yang  kalungnya  hilang. Beliau  pun  kembali  untuk  mencari. Juga  tanpa  disedari, kumpulan  itu  telah  meninggalkan  beliau. Sebab  Saidatina  Aisyah  ini  ringan. Orang  yang  bawa  unta  itu  boleh  tak  sedar  yang  beliau  tak  ada. Jadi  Saidatina  Aisyah  pun  tunggulah  di  situ  sehingga  sampai  suatu  ketika  Safuan  iaitu  juga  tentera  muslim  yang  berkawal  di  belakang  tiba. Safuan  pun  membawa  Saidatina  Aisyah  menunggang  unta, manakala  dia  berjalan  kaki. Sampai  sahaja  di  Madinah, Abdullah  bin  Ubai  pun  mula  membuat  fitnah.” Ustazah  Sa’adiah  bercerita  dengan  penuh  semangat.

          “Abdullah  bin  Ubai?” Aliff  bertanya. Macam  pernah  dengar  nama  itu. Tetapi  dia  seakan  lupa  pula.

          “Orang  munafiq  sewaktu  zaman  Rasulullah.” Fira  yang  berada  di  belakang  menjawab. Ustazah  Sa’adiah  mengangguk.

          “Benar. Abdullah  bin  Ubai  ini  seorang  munafiq. Dia  telah  menyebarkan  cerita  bahawa  si  Safuan  ini  telah  membuat  perkara  yang  tidak  baik  dengan  Saidatina  Aisyah. Sampailah  suatu  ketika  turun  wahyu  yang  membersihkan  nama  Saidatina  Aisyah.”

          “Hadis  al  ifk  ini  merupakan  satu  titik  pemula  yang  telah  mencalarkan  kebahagiaan  beliau. Fitnah  si  munafiq  itu  tidak  kenal  sesiapa. Insan  yang  mulia  atau  hamba  sahaya. Hatta  Saidatina  Aisyah  yang  menjadi  Ummahatul  Mukminin  sekalipun. Tetapi  kita  kena  ingat, jangan  ditanya  kenapa  Saidatina  Aisyah  yang  mulia  itu  juga  ditimpa  fitnah. Tetapi  lihatlah  hikmahnya. Di  sebalik  setiap  kejadian  yang  telah  berlaku, Allah  tidak  akan  pernah  mempersia-siakan  ketabahan  hati  seorang  insan. RencanaNya  pasti  tercatit  hikmah  dalam  mengharungi  arus  kehidupan  yang  penuh  dengan  mehnah  ujian  ini.” Ustazah  Sa’adiah  menarikan  kalam  hikmah. Dia  kemudiannya  membuka  buku  nota  yang  tercatit  kata-kata  hikmah  didalamnya.

          “Tidak  akan  terhidu  harum  yang  mewangi. Jika  tidak  dinyalakan  setanggi. Tidak  akan  terasa  manisnya  hidup, andai  tidak  dilambung  gelora. Namun  segala  itu  tercatit  hikmah  di  langit  Ilahi. Antara  kita  dan  Dia  ada  rahsia. Apa  yang  penting  kita  berusaha. Sesungguhnya  ujian  itu  tarbiah  dan  sabar  itu  indah.” Ustazah  Sa’adiah  mengakhiri  kisah  Saidatina  Aisyah  itu  tadi  dengan  kata  madah  pujangga.

          Pelajar  yang  berada  di  dalam  bilik  Kelas  Kemahiran  al  Quran  itu  seakan  disuntik  suatu  semangat  baru. Mereka  terkesan  dengan  peribadi  isteri  baginda. Dalam  diam, sebahagian  daripada  murid  di  situ  mula  menanam  minat  untuk  mengkaji  sirah. Murad  pula  memejamkan  mata. Aura  ketenangan  itu  mula  terasa. Kisah  Saidatina  Aisyah  itu  tadi  menyentuh  jiwa. Tidak  hairanlah  perangai  Hakim  itu  berubah  setelah  dia  mengkaji  sirah. Terlalu  banyak  contoh  yang  boleh  kita  ikuti. Terasa  rindu  pula  ingin  bertemu  dengan  para  sahabat  yang  imannya  tinggi  melangit. Juga  yang  paling  utama  adalah  kepada  Rasulullah. Andai  Rasulullah  itu  berada  di  sampingnya, sungguh  itu  adalah  perkara  yang  paling  bahagia  di  dalam  dunia  ini.

          “Murad, anta  menangis  ke?” Aliff  di  tepi  perasan  akan  air  mata  yang  mengalir  di  pipi  Murad. Murad  tersedar  lantas  terus  mengelapnya.

          “Eh, mana  ada. Habuk  masuk  tadi.” Murad  menafikan. Dia  kemudian  bersandar  dan  kembali  menutup  mata.

          Fitnah. Perkara  itu  amat  berleluasa  sekarang. Lebih-lebih  lagi  di  negara  kita  yang  mengamalkan  sistem  demokrasi  ini. Murad  menggeleng. Terlalu  banyak. Juga  yang  paling  mengecewakan  adalah  dalam  bab  politik. Fitnah  itu  melata. 

          Tidak  kiralah  pihak  kerajaan  mahupun  pembangkang. Masing-masing  lebih  kurang  sahaja. Majoritinya  adalah  orang  Islam. Sungguh, kebanyakan  umat  Islam  hari  ini  menjadi  fitnah  terhadap  agama  mereka  sendiri. Agama  Islam  yang  indah  telah  dicemari  dengan  sikap  penganutnya  yang  lansung  tidak  menampakkan  keindahan  Islam  itu  sendiri. Saling  menunding  jari, menjatuhkan  antara  satu  sama  lain, membuka  aib  sesama  muslim, tidak  cukup  dengan  itu  ada  yang  memfitnah  pula  agama  lain. 

          Cuba  tanya  diri  kita, beginikah  cara  baginda  mendidik  kita? Semestinya  tidak  kan? Jadi  mengapa  pendekatan  fitnah  itu  yang  diguna? Mengapa? Murad  menggaru  kepala, persoalan  yang  padanya  tiada  jawapan. Apa  nak  jadilah  dengan  umat  Islam  zaman  sekarang  ini...~

3 comments:

  1. suka dengan cara penyampaian akhi..
    syukran.. :D

    ReplyDelete
  2. salam. suka lagu unic tu. hee~

    ReplyDelete
  3. alhamdulillah, afwan..
    apa pun, ana hanya menarikan pena, hikmah itu datang daripadaNya jua..~

    Wa'alaikumussalam warahmatullah, yup..lagu yang sangat best, Aisyah Humaira'

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...