Friday, 10 June 2011

Mereka yang bergerak ke arah Perubahan adalah mereka yang Berfikir..~

"I walk around the city, in the middle of a night but nothing impreses me until I open up my eyes. A dome in it's majesty, a minaret rising high. It's a place for me that everyday, I go to keep from falling away..~"


Jika berfikir sejenak, antara punca kepada kemunduran, kemerosotan dan kehinaan yang dialami oleh umat Islam hari ini adalah berpunca daripada kegagalan mereka menggunakan akal yang telah dikurniakan Allah dengan sebaik mungkin.

Sudah terang lagi bersuluh dan bersinar bahawa kealpaan dan kelalaian umat ini telah mengakibatkan mereka terus hidup dalam sistem yang rosak lagi merosakkan, yang tidak layak diamalkan oleh manusia dan sebagai seorang hamba Allah. 

Antara ciri manusia yang tidak berfikir ialah manusia yang hidup sehari-hariannya akan mengulangi perkara yang sama. Mereka tidur, bangun daripada tidur, makan, bekerja atau belajar, bergelak tawa dan bersosial, berkahwin, melahirkan anak-anak sehingga ke cucu cicit, mengumpul harta seperti rumah besar dan kereta mewah, mempunyai kerjaya yang sangat memuaskan dan akhirnya sehingga ajal tiba, mereka akan menghadapi kematian seperti manusia lain. 

Tidak walau sedetik pun dalam hati mereka pernah bertanyakan pada diri sendiri, apakah sebenarnya tujuan aku dihantar untuk hidup di atas bumi ini?

Wahai pembaca yang mulia, Sesungguhnya manusia yang tidak berfikir tentang kehidupan ini ialah seperti binatang ternakan, malahan mereka lebih hina dan sesat daripada binatang ternakan. 

Siapakah yang menghina golongan yang tidak berfikir sehingga status mereka digelar sebagai lebih sesat daripada binatang ternakan? Itulah Sang Pencipta, yang memulakan penciptaan manusia daripada jiwa yang satu. Allah memberi amaran keras kepada golongan yang tidak mahu menggunakan akal mereka untuk berfikir tentang kehidupan ini, tentang permasalah umat ini, tentang ancaman fikiran-fikiran kufur yang melanda umat ini seperti mana firmanNya;

'Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahaminya dengannya (ayat-ayat Allah) dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keEsaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.'

[QS 7: 179]

Apakah kehidupan kita adalah semata-mata didedikasikan untuk belajar sahaja? Adakah dengan alasan ini kita akan berhadapan dengan Allah supaya kita terlepas daripada tanggungjawab memikirkan masalah kehidupan ini lebih-lebih lagi masalah kita sendiri yang hidup dalam sistem hidup yang huru-hara, yang mengajar kita supaya hanya sibuk memikirkan perut-perut kita, harta-harta yang kita ingin kumpulkan dan kehidupan berkeluarga yang kita impikan? 

Apakah kita pernah membuka mata kalian bahawa kalian hidup dalam sistem ekonomi yang mengamalkan RIBA, sistem sosial yang menggalakkan ZINA, sistem pendidikan yang menjadikan kita SEKULAR, dan apakah kita tidak memikirkan dan memerhatikan kehidupan kita sendiri yang mempunyai masalah dalam hutang pinjaman untuk yuran pelajaran, berhadapan dengan kehidupan sosial yang tidak mengenal batas haram dan halal malahan kita merupakan sebahagian dari UMAT ISLAM YANG MUNDUR lagi DITINDAS? 

Sedarlah wahai umat bahawa setiap hari kita dikhianati oleh orang yang sepatutnya mempertahankan kita dan saudara-saudara seakidah kita.

'Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada mereka yang fasik (derhaka).

[QS 9: 24]

Pilihlah destinasi kalian, adakah kalian ingin menghadapi ajal kalian sebagai orang yang menggunakan akal atau kalian ingin menghadapi saat kematian kalian sebagai manusia yang lebih sesat daripada binatang ternakan. 


 Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...