Tuesday 29 November 2011

Something Beyond The Truth - Cebisan Diari Uswah




“There  is  only  one  truth.”


( Conan  Edogawa – Detective  Conan )



Penumpang  yang  lainnya  saling  berpandangan. Tidak  tahu. Adengan  cemas  untuk  lari  daripada  letupan  sebentar  tadi  ternyata  memberi  ruang  kepada  perompak  tersebut  memboloskan  diri. Amirul  memerhati  sekeliling. Pandangannya  terhenti  pada  bangunan  MTD  Hentian  Genting  Sempah  tersebut. Dia  berkira-kira, jika  perompak  tersebut  lari  pun, tempat  yang  ditujunya  pasti  tidak  jauh. Semestinya  di  sekitar  kawasan  itu. Namun  begitu, ada  sesuatu  yang  masih  bermain  di  mindanya. Mana  Hakim? Sahabatnya  tidak  kelihatan  berada  di  sekitar  tempat  ini.

          “Perompak  yang  satu  lagi  mungkin  berjaya  melarikan  diri  Tuan.” Pemandu  bas  Rapid  KL  itu  menerangkan. Anggota  polis  itu  tertunduk  mendengarnya. Dia  termenung  seketika. Agak  kecewa.

          “Tidak  mengapalah, kamu  boleh  ikut  kami  ke  balai  untuk  beri  keterangan.” Anggota  polis  itu  memberi  arahan. Pihak  polis  memerlukan  saksi  yang  juga  mangsa  kejadian  untuk  memberi  keterangan  lebih  lanjut.

          “Nanti  dulu  Tuan!”

          Polis  itu  berpaling. Amirul  berdiri  di  belakangnya. Mahu  menanyakan  sesuatu.

          “Tuan  ada  nampak  tak  budak  sebaya  dengan  umur  saya  di  sekitar  kawasan  ini?” Amirul  bertanya. Polis  itu  mengusap  janggut. Tadinya  dia  ternampak  dua  orang  remaja  yang  sedang  dirawat  di  bahagian  belakang  ambulans. Seorang  dihantar  ke  wad  dan  seorang  lagi  hanya  mengalami  cedera  ringan. Dia  kemudian  memerhati  ke  arah  kawasan  kereta  peronda  dan  van  ambulans  itu  berhenti.

          “Kamu  maksudkan  dia?” Polis  itu  mengangkat  jari  telunjuk  dan  menunjuk  ke  arah  seseorang  yang  sedang  bangun  dan  menuju  ke  arah  tempat  mereka  berkumpul.

          Amirul  meneliti. Kelihatan  van  ambulans  itu  bergerak  pergi. Bunyi  siren  mula  kedengaran. Perbezaan  bunyi  siren  yang  silih  berganti  itu  kedengaran  seperti  van  tersebut  sedang  dalam  keadaan  kecemasan  membawa  mangsa  kejadian. Mangsa  yang  sedang  dalam  keadaan  tenat  dan  perlu  segera  dirawat. Tempat  van  ambulans  itu  berhenti  tadi  diganti  dengan  lori  bomba. Anggota  bomba  kemudian  bergegas  memadamkan  api. Namun  bukan  itu  yang  menjadi  perhatian  Amirul. Dia  lebih  tertarik  untuk  melihat  sahabatnya  yang  sedang  berjalan  ke  arah  mereka. Jalannya  bersahaja. Penuh  gaya.

          “Nyawa  budak  itu  memang  panjang  kan?” Murad  bernada  gurauan. Bahu  Amirul  disikunya.

          “Maksud  anta?”

          “Dia  yang  menawarkan  diri  tadi.” Murad  berteka-teki.

          “Hakim  pergi  selamatkan  Wan  Ju?” Amirul  meneka.

          Murad  tersenyum  mendengar  tekaan  itu. Dia  kemudian  menggelengkan  kepala. Tidak. Bukan  itu  tujuan  utama  Hakim. Murad  kemudian  tersengih  sambil  menunduk. Dia  menyeluk  sakunya. Suatu  barang  dikeluarkan. Amirul  bingung. Masih  tidak  faham. Hakim  ini  berbeza  sedikit  fikirannya. Memang  susah  untuk  difahami. Murad  sahaja  yang  mampu  mengetahui.

          “Dia  pergi  menyelamatkan  ini.” Murad  menunjukkan  kad  dari  siri  animasi  Cardcaptor  Sakura  yang  dihadiahkan  oleh  Hakim. Amirul  mengangkat  kening. Dia  kemudian  sedikit  tertawa.

          “Budak  itu, memang  susah  nak  faham.” Amirul  menggeleng  kepala. Dia  kembali  memandang  Hakim  yang  sedang  berjalan  ke  arah  mereka  berdua.

          Kedua  belah  tangan  Hakim  kelihatannya  sudah  berbalut. Dari  bahagian  lengan  sehinggalah  ke  pergelangan  tangan. Mungkin  akibat  bergeseran  dengan  tar  yang  menghiasi  lebuhraya  ini  agaknya. Hakim  sekadar  melambai  dari  kejauhan. Dia  semakin  menghampiri. Tetapi  dia  tidak  berlari. Hanya  berjalan  perlahan. Seakan  ada  sesuatu  yang  menghalang.

          “Macam  mana? Dapat?” Murad  bertanya  kepada  Hakim  yang  baru  tiba  di  hadapan  mereka.

          “Tak, ada  satu  yang  ana  tak  dapat  ambil.”

          “Wan  Ju  macam  mana?” Amirul  kemudian  bertanya.

          “Dia  sihat. Cuma  dia  perlu  dihantar  ke  hospital, kena  rawat  mulutnya  yang  agak  laser  itu  agaknya.” Hakim  bersahaja  dengan  sindirannya.

          Murad  menggaru  kepala. Sempat  pula  Hakim  mengutuk  sedangkan  tadinya  dia  berhadapan  dengan  situasi  hidup  mati  yang  mempunyai  harapan  tipis. Kemudian  Murad  menguntum  senyum. Ketua  Uswah  ini  memang  tenang  orangnya. Dengan  ketenangan  dia  mampu  menyelesaikan  masalah. Dengan  ketenangan  dia  berjaya  membawa  perubahan. Dengan  ketenangan  dia  bijak  memutar  situasi. Murad  memandang  langit. Hikmah  yang  Allah  tunjukkan  ini  amat  indah. Segalanya  boleh  diselesaikan  dengan  ketenangan. Bagaimana  mahu  mendapatkan  ketenangan? Semestinya  seperti  apa  yang  disarankan  dalam  surah  Ar  Ra’d  ayat  28,

          “Ketahuilah  hanya  dengan  mengingati  Allah,  jiwa  akan  menjadi  tenang.”

           Hakim  merebahkan  diri  ke  atas  lebuhraya  yang  berhiaskan  tar  itu. Penat. Sakit. Sudah  tidak  larat  rasanya  mahu  melawan  daya  tarikan  graviti  untuk  berdiri. Amirul  berjalan  menghampiri  Hakim. Dia  kemudian  sedikit  menunduk  ke  arah  telinga  Hakim. Sepertinya  ada  perkara  yang  mahu  dibisikkan.

          “Jadi  herolah  anta  hari  ini  ya.” Amirul  menumbuk  dahi  Hakim. Hakim  sekadar  menadah  tumbukan  itu.

          “Semua  itu  kebetulan  sahaja. Ana  hanya  nak  selamatkan  ini.” Hakim  mengangkat  lima  keping  kad  Cardcaptor  Sakura. Menutup  cahaya  mentari  terbenam  yang  memancar  menyilaukan  pandangannya.

          “Mana  ada  perkara  kebetulan  dalam  dunia  ini, yang  ada  hanyalah  hikmah  di  sebalik  segala  kejadian.” Amirul  mengenyitkan  mata. Menyindir. Hakim  terkena. Apa  yang  disampaikan  selama  ini  dikembalikan  kepadanya. Hakim  mencebik. Kurang  asam.

          “Ana  nak  beritahu  sahabat  dia  itu. Kasihan  ana  tengok, dari  tadi  tak  berhenti  menangis.” Amirul  memandang  Norliana  Shuhada  yang  berada  di  tempat  mereka  berlindung  tadi. Dia  kelihatannya  seperti  belum  berhenti  menangis. Hakim  mengangkat  kening. Dia  kemudiannya  turut  memerhati. Senyuman  terukir. Ketika  ini, ukhuwah  antara  mereka  diuji. Pergantungan  kepada  Allah  sahaja  yang  menjadi  pelerai  hakiki.

          Amirul  kemudian  berjalan  meninggalkan  Hakim. Dia  menuju  ke  arah  Norliana  Shuhada. Ada  berita  gembira  yang  mahu  disampaikan. Hakim  memandang  langit. Dia  kagum  dengan  rencana  Ilahi. Dikurniakan  Murad  dan  Amirul  yang  memberi  kepercayaan  penuh  kepada  dirinya  tadi. Secara  tidak  lansung  membantu  dia  menumbangkan  tiga  perompak  tersebut. Dia  terfikir, jika  orang  lain  mungkin  susah  mahu  mendapatkan  kerjasama.

          “Huuu...Allah  memang  Maha  Bijaksana. Antara  aku  dan  Dia  masih  ada  banyak  lagi  rahsia  yang  belum  terungkai.” Hakim  bangun  untuk  ke  posisi  duduk. Dia  memerhati  Amirul  dari  jauh.

          “Hikmah.”

          Murad  sekadar  duduk  di  tepi  Hakim. Dia  juga  memandang  Amirul  yang  sedang  semakin  menghampiri  Norliana  Shuhada. Kelihatan  seperti  ada  sesuatu  yang  dikhabarkan  oleh  Amirul  kepada  Norliana  Shuhada. Tidak  lama  kemudian  Norliana  Shuhada  menunjukkan  reaksi  terkejut  yang  teramat  sangat. Tangisannya  seakan  semakin  kuat  kedengaran. Kemudian  dia  menundukkan  dahinya  ke  tanah. Murad  dan  Hakim  membesarkan  mata. Dia  sujud  syukur. Syukur  tidak  terhingga  kepada  Allah  yang  Maha  Pengasih  lagi  Maha  Penyayang.

          “SubhanAllah.” Murad  spontan  mengucapkan. Maha  Suci  Allah  yang  mendengar  rintihan  hamba. Banyak  iktibar  yang  diperolehi  hari  ini.

          Hakim  menghela  nafas  panjang. Hari  yang  penuh  dengan  ujian. Tidak  jangka  aktiviti  keluar  ke  bandar  yang  pada  mulanya  dihiasi  kegembiraan  berselang  ketawa  itu  akan  diakhiri  dengan  tragedi  yang  menyebabkan  ramai  orang  tercedera. Diri  sendiri  terutamanya. Hakim  memandang  kedua  belah  lengannya. Susahlah  nak  ambil  wudhuk  nanti. Dia  menggeleng. Jangan  mengeluh. Semua  ini  ada  hikmahnya.

          “Kita  merancang  dan  Allah  juga  merancang, sesungguhnya  perancangan  Allah  adalah  lebih  baik.” Hakim  memujuk  hati. Mereka  rancang  untuk  keluar  berseronok, tetapi  Allah  ada  perancangan  yang  lebih  baik  dengan  melibatkan  mereka  dalam  hal  ini. Secara  tidak  lansung, rancangan  jahat  perompak  itu  gagal  serta  banyak  nyawa  yang  telah  diselamatkan.

          “Oh  ya, misi  anta  tak  selesai  lagi.” Murad  bangun  dan  menepuk  seluarnya  yang  sedikit  kotor  akibat  duduk  di  atas  lebuhraya  tadi. Hakim  tidak  mengerti.

          “Tak  selesai  lagi?”

          “Ada  seorang  perompak  terlepas.” Murad  menceritakan.

          Mata  Hakim  membesar. Seakan  tidak  percaya. Juga  terselit  rasa  geram  yang  membara. Terlepas? Macam  mana  boleh  terlepas? Hakim  tidak  boleh  membiarkan  perkara  ini  berlaku. Perompak  atau  lebih  tepat  digelar  pengganas  itu  amat  bahaya. Teknologi  mereka  juga  amat  canggih. Apa  yang  paling  penting, Hakim  sedar  yang  dia  secara  tidak  lansung  telah  terlibat  dalam  hal  ini  memandang  dia  menjadi  punca  kepada  gagalnya  rancangan  mereka.

          “Huuuuu..”

          Keluhan  panjang  dilepaskan  pula. Peristiwa  5  tahun  dahulu  seakan  berputar  kembali. Tetapi  kali  ini  dengan  musuh  yang  lebih  hebat. Mungkin  sebab  itu  kita  sebagai  mukmin  ini  disarankan  agar  sentiasa  berusaha  ke  arah  kebaikan. Hari  ini  lebih  baik  dari  semalam. Hakim  kembali  memikirkan  tiga  pengganas  tersebut. Adakah  mereka  orang  yang  sama? Kumpulan  yang  telah  dikalahkan  5  tahun  dahulu. Kemungkinan  itu  ada. Malah  besar  potensinya  berdasarkan  dialog  yang  dituturkan  antara  dia  dan  pengganas  tersebut. Ternyata  mereka  kenal  Hakim. Hakim  yang  pada  waktu  itu  menggunakan  kod  nama.

          “Shirou...”

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...