Monday 24 January 2011

Lisan Punca Neraka

Rasulullah S.A.W bersabda,
"Barangsiapa yang mampu menjaga apa yang terdapat di antara dua janggutnya dan apa yang ada di antara dua kakinya, maka aku jamin dia akan masuk syurga."






Neraka, adalah tempat kedukaan. Angkara kedurjanaan insan, yang benci akan Tuhannya, yang benci akan rasulNya yang benci agamaNya. Antara punca anak Adam itu masuk ke dalam neraka adalah kerana mereka tidak menjaga lisan mereka. Lisan merupakan anggota yang amat berbisa. Mampu membunuh lawan tanpa mencederakan anggotanya. Memang senjata yang hebat. Walaupun tidak bertulang malah tidaklah sekeras shot gun, pump gun, rocket launcher, flamethrower, maverick cabin atau revolver, tetapi serangannya lebih dahsyat daripada senjata moden itu. Serangannya mampu menembusi hati dan meranapkannya sekelip mata. Dahsyat...



Lisan mampu untuk menimbulkan dusta, nista, umpatan, kejian dan menyebarkan khabar yang mengelirukan. Dengan lisan seseorang mampu mengucapkan kata-kata tanpa pertimbangan yang waras sehingga menimbulkan fitnah dan kemudaratan bagi dirinya sendiri mahupun orang lain.


Jadi sudah teranglah bahawa antara faktor keselamatan seorang hamba itu daripada api neraka juga bergantung kepada penjagaannya terhadap lisan. Baginda Rasulullah S.A.W juga pernah menasihati Uqbah bin Amir ketika dia bertanyakan perihal keselamatan daripada azab neraka ini, lalu baginda bersabda yang bermaksud,


"Peliharalah lidahmu, tahanlah tinggal di rumahmu dan tangisilah dosa-dosamu."


-Hadis Riwayat at Tarmidzi-




Kebanyakan masalah yang berlaku berpunca daripada lisan adalah berdusta, baik dalam ucapan mahupun perbuatan, dalam jual beli, dalam sumpah ataupun perjanjian. Bahkan ada yang menyelitkan unsur dusta dalam dakwah mereka demi menjatuhkan orang lain. Kebanyakan daripada kita menganggap dusta sebagai suatu perkara biasa dan sukar untuk ditinggalkan tabiatnya. Lebih parah lagi apabila dusta yang telah menjadi kebiasaan ini sudah tidak dipedulikan lagi kesalahannya.


Sesungguhnya perbuatan dusta ini termasuk dalam perkara haram yang boleh menjerumuskan pelakunya ke dalam neraka. Rasulullah S.A.W pernah bersabda,


"Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kekejian dan kekejian itu membawa ke neraka. Tidak henti-hentinya seseorang itu berdusta dan membiasakan diri dalam dusta, sehingga dicatat di sisi Allah sebagai pendusta."






Ingatlah berdusta ini memberi kesan yang amat buruk dalam masyarakat. Apabila seseorang itu berdusta, maka akan timbullah keraguan. Kebenaran itu akan diragui. Kepercayaan manusia akan terjejas. Malah mampu untuk menjadi punca perpecahan umat.


Sesungguhnya pendusta suka menghiasi keburukan mereka sehingga nampak baik dan memburuk-burukkan yang baik hingga menjadi buruk. Itulah perniagaan mereka.


Ingatlah, antara sifat orang munafik itu adalah apabila berkata dia berdusta. Sebagaimana yang kita tahu, orang munafik akan menghuni neraka yang paling bawah. Jadi? Kenapalah kita berani-berani berdusta ini? Sudahlah berdusta, kemudian mempertahankannya pula. Padahal perkara inilah yang akan menghantar kita ke penempatan yang paling hina nanti. Nak ke masuk neraka? Fiki-fikirkanlah.



Jom teruskan pengembaraan kita lagi. Apa kata kita berbincang pula pasal mengumpat? Jom..


Rasulullah S.A.W pernah bersabda,


"Mengumpat itu adalah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu yang dibencinya."
Hadis Riwayat Muslim


Jadi kita simpulkan di sini bahawa mengumpat itu adalah menyebarkan keburukan dan kekurangan seseorang kepada orang lain. Berhati-hatilah, kerana mengumpat ini boleh berlaku sama ada kita sedar ataupun tidak. Perbuatan itu termasuk apabila kita menyebut atau menceritakan keburukan seseorang biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.























Dosa mengumpat ini amat besar malah disamakan dengan memakan daging saudara seagamanya sendiri. Allah tidak akan mengampunkan dosa mengumpat ini biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat ini hanya boleh diampunkan oleh orang yang diumpat (mangsa keadaan) sahaja. Selagi orang yang diumpat itu tidak mengampunkannya, maka dosa orang yang mengumpat itu akan kekal. 

Sabda Rasulullah S.A.W

"Awasilah dirimu daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih besar dosanya daripada berzina. Sesungguhnya orang yang melakukan zina apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat (mengumpat) tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampunkan oleh orang yang diumpat."

-Hadis Riwayat Ibnu Abid dan Ibnu Hibban-


Orang yang mengumpat ini akan mendapat kerugian yang amat besar di akhirat nanti. Pada rekod amalannya akan dicatatkan amalan yang menghapuskan pahala.

Rasulullah S.A.W bersabda,

"Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api yang memakan kayu kering"

Hal ini bermakna, pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau terhapus seperti api memakan kayu kering yang tidak meninggalkan apa-apa yang berguna lagi.



Diriwayatkan oleh Abu Ummah al Bahili,

Di akhirat kelak akan ada yang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah mereka lakukan di dunia. Maka dia bertanya kepada Allah S.W.T,

'Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya amalan kebaikan yang banyak ini? Sedangkan aku tidak pernah melakukannya.'

Maka Allah S.W.T menjawab,

'Semua itu merupakan kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau sedari.'


Jika pahala orang yang mengumpat itu tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpatnya, maka dosa orang yang diumpatnya itu akan berpindah kepada orang yang mengumpatnya tadi. Inilah yang dikatakan muflis di akhirat nanti.




Sudah terang jadi tak payahlah kita suluh bahawa betapa buruknya perbuatan mengumpat ini. Wajiblah kita mengelakkan diri daripada dosa mengumpat ini. Kadangkala berdiam itu jauh lebih baik daripada berkata-kata, kerana kadangkala tanpa kita sedari, kita mungkin tersalah atau terlebih cakap sehingga menjerumuskan diri ke lembah hina. Banyakkanlah berzikir ya!
Dengar lagu Sami Yusuf ke? Memasak ke? Bermain dengan kucing ke? Lagi bagus daripada mengumpat ini.


Yosh!
Masa untuk berubah!
Bukan Henshin, tetapi perubahan ke arah yang lebih baik...




Sumber Rujukan


Sakinah karya A.Ubaidillah Alias 

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...